Wednesday, March 24, 2010

berhenti merokok beri manfaat



ORANG yang sudah lama merokok sentiasa menghadapi risiko diserang penyakit berbahaya, dan keadaan kesihatan mereka boleh bertambah buruk pada bila-bila masa. Mereka amat terdedah kepada penyakit kronik seperti emfisema dan sakit jantung.

Oleh itu, bukankah sudah tiba masanya untuk berubah demi kesihatan diri? Memang sukar dibayangkan, tetapi perubahan fisiologi jangka panjang yang berlaku dalam badan anda apabila tidak lagi dibelenggu nikotin begitu menakjubkan

Dalam dunia hari ini, di mana komunikasi serta-merta dan keupayaan melakukan berbilang tugasan menjadi lumrah kehidupan, mungkin sukar bagi kita menerima hakikat bahawa usaha berhenti merokok memerlukan masa.

Walaupun terapi hipnosis, akupunktur dan penawar alternatif lain menjanjikan keputusan segera yang kita harapkan, pilihan ini mungkin belum boleh dipercayai dan dianggap tidak terbukti oleh masyarakat perubatan. Malah, dalam percubaan untuk 'berhenti serta-merta' sekalipun, prosesnya mengambil masa, kerana badan perlu menyesuaikan diri kepada kekurangan nikotin yang dialami secara tiba-tiba.

Setakat ini, ada dua kategori terapi utama untuk membantu perokok mengatasi ketagihan dan penggantungan mereka terhadap nikotin.

Ubat preskripsi boleh membantu mengekang atau mengurangkan kesan nikotin dalam badan, lantas mengurangkan ketagihan yang berlaku akibat ketiadaan nikotin. Terapi penggantian nikotin (NRT) pula ialah satu lagi bentuk rawatan yang sudah terbukti dan mudah didapati daripada ahli farmasi. Terapi penggantian nikotin membekalkan jumlah nikotin secukupnya kepada badan anda untuk mengurangkan ketagihan anda, tetapi tanpa kesan membinasa yang dibawa tar dan karbon monoksida daripada asap rokok, yang merupakan punca utama kanser dan penyakit kardiovaskular.

Fleksibiliti NRT juga merupakan satu kelebihan (bergantung kepada tabiat merokok anda) NRT boleh diberikan dalam bentuk tampalan, gula-gula getah atau alat sedut. Tampalan NRT ialah kaedah paling tidak menonjol kerana boleh dipakai seperti plaster manakala gula-gula getah lebih sesuai bagi mereka yang memerlukan pendekatan lebih aktif.

Akhir sekali, alat sedut boleh digunakan oleh mereka yang mahu memegang sesuatu seperti rokok. Walau apa pun bentuk NRT yang anda pilih, anda perlu beransur-ansur mengurangkan jumlah tampalan, gula-gula getah atau kartrij sehingga anda rasa anda tidak memerlukannya lagi.

No comments:

Post a Comment